Semalam bertempat di Medan Ilmu Jalan Dato Pati, K bersama Opah dan Abe Hanif berkesempatan mendengar kuliah mingguan yang disampaikan oleh Tok Guru. Kami tiba di perkarangan Medan Ilmu seawal jam 8.30pagi. Alhamdulillah, Tok Guru masih kuat, boleh berjalan dan memberi peringatan yang berkesan kepada para pengunjung.
Tok Guru semalam memperingatkan kami mengenai peristiwa agung, Israk dan Mikraj yang dilalui oleh Nabi tercinta Muhammad Bin Abdullah.
Isra' dapat diertikan perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram di Mekkah ke Masjidil Aqsa, Baitulmaqdis di Palestin, sementara Mikraj pula dapat diertikan perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjid Aqsa di Baitulmaqdis merentasi tujuh lapisan langit hingga ke Sidratul Muntaha dimana perjalanan ini tidak mampu tercapai oleh akal fikiran manusia apatah lagi ianya hanya berlaku pada satu malam.
"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."(Surah Al-Israa': Ayat 1)
Peristiwa agung ini berlaku setelah Nabi menempuh tahun dukacita selepas kehilangan dua insan yang amat dikasihi iaitu isterinya, Saidatina Khadijah Binti Khuwailid dan bapa saudaranya, Abu Talib. Kedua-dua insan ini amat membantu baginda dalam permulaan proses menyebarkan agama Allah kepada seluruh manusia. Baginda dicerca, ditindas dan dipulau oleh seluruh masyarakat kafir quraisy. ugutan bunuh dikeluarkan kepada baginda oleh pemimpin kafir quraisy.
Disaat kesedihan yang amat sangat, Jibril mendatangi baginda membawa khabar gembira untuk di isra' dan mikraj bertemu Maha Pencipta. Disini dapat diambil beberapa pengajaran yang berguna sempena peristiwa agung tersebut. Antaranya:
i) Kewajipan umat Nabi Muhammad SAW melaksanakan solat lima waktu sehari semalam.
- Begitu kasihnya Nabi kepada umatnya yang mana baginda memberanikan diri memohon kepada Allah swt agar diringankan bilangan waktu solat daripada 50 waktu kepada 5 waktu.
Kewajiban ibadah solat ini adalah disampaikan Allah terus kepada Nabi saw tidak seperti ibadah-ibadah yang lain seperti puasa dan zakat yang diturunkan melalui perantaraan malaikat Jibril. Ini menunjukan betapa penting dan istimewanya ibadah solat yang merupakan tiang agama.
Walaupun bilangan waktunya dikurangkan kepada 5 waktu tetapi pahalanya menyamai 50 waktu solat. Beza antara orang Islam dan orang kafir adalah menunaikan solat. Cuba kita lihat pada zaman sekarang, ramai orang yang bergelar diri mereka Islam tetapi meringan-ringankan ibadah solat.
Tidakah mereka meyakini bahawa solat dapat mencegah diri daripada perkara keji dan mungkar? Tidakah mereka mengetahui bahawa solat dapat melapangkan rezeki seseorang? Alangkah kufurnya mereka terhadap nikmat yang Allah kurniakan??? Semoga Allah melindungi kita dari ujian-ujian yang tak mampu kita tempuhi.
ii) Menguji tahap keimanan kepada Allah dan RasulNya.
-Perjalanan Rasulullah SAW dalam peristiwa itu mencabar pemikiran manusia secara keseluruhannya. Hanya manusia yang beriman dan meyakini kekuasaan Allah saja yang dapat menerima kejadian itu sebagai kebenaran dan lambang kekuasaan Allah.
Bayangkan kita berada di zaman tersebut, kuatkah hati kita sebagaimana kuatnya hati para sahabat Nabi yang tiada secebis pun perasaan syak curiga keatas kata-kata yang disampaikan oleh Rasul Allah yang tidak tercapai akalnya? masihkan kita curiga mengenai kehadiran hari berbangkit? apakah kita tahu bahawa setiap amal perbuatan kita dicatit oleh malaikat dan diperhatikan oleh yang Maha Pencipta?
Sesungguhnya peristiwa Israk Mikraj jika dihayati dengan sesungguhnya dapat dijadikan benteng diri daripada hasutan syaitan dan nafsu disamping dapat meningkatkan keimanam terhadap perkara ghaib dan meyakini bahawa Al-Qur’an dan Hadith sebagai petunjuk, panduan dan penyelesai kepada setiap masalah hidup manusia.
"Ya Allah, tetapkan iman kami kejalan yang Engkau redhai. Wahai Allah, peliharalah diri kami, peliharalah ihsan kami agar kami meyakini setiap gerak geri kami diperhatikan oleh Mu. Wahai Allah, maafkanlah segala dosa-dosa kami, sesungguhnya kami telah banyak melampaui batas... amin."
0 comments:
Post a Comment