Pages

Sunday, January 16, 2011

Wahai Amirul Mukminin!


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sesiapa sahaja dalam kalangan pemerintah, apabila mati dalam keadaan menipu rakyatnya, nescaya diharamkan syurga untuknya."

Wahai Amirul Mukminin!

Sesiapa yang benci kepada kebenaran, sesungguhnya ia benci kepada Allaah kerana sesungguhnya Allah itu benar lagi membenarkan.

Hendaklah tuanku tegakkan kebenaran dan keadilan ke atas rakyat. Tutuplah aurat (keaiban) mereka. Janganlah dikunci pintu rumah tuanku atau mengadakan hijab (penghalang) antara tuanku dengan mereka. Hendaklah tuanku bergembira dengan nikmat yang mereka terima, dan bersimpatilah dengan musibah ayng menimpa mereka.

Wahai Amirul Mukminin!

Urwah bin Ruwain berkata: "Pernah Rasulullah memiliki pelepah kurma yang digunakan untuk bersugi sehingga menakutkan kaum munafik. Kemudian turunlah Jibrail bertanya: 'Hai Muhammad! Apakah pelepah kurma ini engkau gunakan untuk menghancurkan atau menakutkan hati umatmu?"

Wahai Amirul Mukminin!

Relakanlah dirimu dengan dirimu! Dan carilah keamanan daripada Tuhanmu! Gemarlah kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi. Ingatlah sabda Rasulullah yang bemaksud: "Sesungguhnya tempat letak panah yang dimiliki oleh ahli syurga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya." (Riwayat al-Tabarani no 6134) 

Wahai Amirul Mukminin!

Sesungguhnya jika sebuah kerajaan sebelummu itu kekal, nescaya ia tidak akan sampai kepadamu. Begitu jugalah, ia tidak akan kekal di tanganmu atau sesiapa sahaja.

Wahai Amirul Mukminin!

Inilah kata-kata Umar al-Khattab: "Jika mati anak kambing di tepi sungai Furat (Iraq), nescaya aku takut akan dipertanggungjawabkan mengenainya di akhirat kelak! Maka bagaimana pula halnya dengan rakyatmu yang tidak beroleh keadilan daripadamu sedangkan ia sangat hampir denganmu?"

Wahai Amirul Mukminin!

Allah telah berfirman yang bermaksud: "Hai Daud! Sesungguhnya Kami jadikan engkau khalifah di muka bumi. Sebab itu putuskanlah sesuatu perkara antara rakyatmu dengan kebenaran. Janganlah engkau turuti hawa nafsumu, nanti engkau akan disesatkan dari jalan Allah." (Surah Sod, 38:26)

Wahai Amirul Mukminin!

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Setiap pemerintah akan dibawa pada hari kiamat dengan tangannya dirantaikan ke leher. Ia hanya dapat dibuka oleh keadilannya. Ia diberhentikan di atas titian sirat di atas neraka yang akan bergerak dengan suatu gerakan yang akan menghilangkan seluruh anggota dari badan. Kemudian ia dikembalikan. 

Lalu dihitung amalannya. Kalau ia dahulu berbuat baik, nescaya ia terlepas dengan kebaikannya. Kalau ia dahulu berbuat jahat, nescaya pecahlah titian itu, lalu ia terhumban ke dalam neraka tujuh puluh kharif ( jarak masa setahun )."

Wahai Amirul Mukminin!

Umar r.a berkata: "Amir (pemerintah) itu ada empat jenis:

1. Amir yang kuat yang dapat mengawal diri dan pegawai-pegawainya. Ia seperti mujahid (orang yang berjihad)

2. Amir yang kuat yang dapat mengawal dirinya sendiri sahaja dan tidak pegawai-pegawainya. Ia berada di tepi jurang kebinasaan, kecuali Allaah menurunkan rahmat ke atasnya.

3. Amir yang dapat mencegah pegawai-pegawainya tetapi membiarkan dirinya mengikut hawa nafsu. Ia berada dalam keadaan yang membahayakan sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: 'Penggembala yang terjahat itu bahaya yang menghancurkan. Dia itu binasa sendiri.'

4. Amir yang membiarkan dirinya dan pegawai-pegawainya menurut hawa nafsu. Mereka kesemuanya akan binasa."

Wahai Amirul Mukminin!

Umar al-Khattab telah berdoa: "Wahai Tuhanku! Sekiranya menurut ilmuMu, aku akan terpengaruh apabila dua rakyatku dihadapkan kepadaku, kepada yang miring daripada kebenaran, baik yang dekat atau jauh, maka janganlah Engkau biarkan aku walaupun sekelip mata."

Wahai Amirul Mukminin!

Sesungguhnya yang paling berat ialah berdiri tegak untuk menegakkan kebenaran kerana Allah. Yang paling mulia di sisi Allah ialah taqwa. Sesiapa yang mencari kemuliaan dengan mentaati Allaah, nescaya ia akan diangkat dan dimuliakan oleh Allah. Sesiapa yang mencari kemuliaan dengan membuat maksiat kepada Allah, nescaya ia akan dihina dan direndahkan oleh Allah.

*Surat ini ditulis dan diutus oleh Imam al-Auza'i kepada Khalifah al-Mansur, pemerintah Abbasiyyah.

Dari majalah Solusi edisi 27

Hakikatnya, pesanan ini adalah untuk kita semua yang bergelar sebagai pemimpin. Tidak semestinya pemimpin kepada sesebuah masyarakat sahaja, bahkan pemimpin kepada ahli keluarga dan juga diri sendiri.

Dalam sebuah hadeeth saheeh:

“Each of you is a shepherd, and each is responsible for those under his care. A ruler is a shepherd; a man is the shepherd of his family; a woman is the shepherd of her husband’s house and children. For each of you is a shepherd and each of you is responsible for those under his care.”

Bukhari & Muslim. See Sharh al-Sunnah, 9/327, Kitab al-imarah wa’l-qada’: bab al-ra’i mas’ul ‘an ra’iyatihi.

0 comments:

Post a Comment

Halwa Telinga

 
Copyright 2009 Rimbunan Taqwa. Powered by Blogger
Blogger Templates created by Deluxe Templates
Wordpress by Wpthemescreator
Blogger Showcase