Ketika sujud merupakan saat yang sangat mustajab untuk berdoa khususnya sujud bagi solat sunat yang dilakukan secara bersendirian. Bersujud adalah satu tempat di mana seorang hamba dekat pada Penciptanya.
Alim ulama tidak menggalakkan tambahan doa dalam sujud solat fardhu, kerana dibelakang imam ada makmum yang tidak diketahui keadaanya. Mungkin ada orang tua yang uzur, musafir berhajat meneruskan perjalanan jauh dengan kadar segera.
Pada penghujung malam ketika manusia lain lena tidur tetapi seseorang itu bangun beribadat dan berdoa. Atas alasan apakah jika tidak bangun untuk Allah? Waktu ini waktu yang baik untuk menduga sejauh mana keikhlasan diri kepada Tuhan atau sebaliknya. Jika mereka terpesona dengan tilam empuk nescaya terus lena tidur melayan naluri insan. Tetapi apabila ikhlas dengan Allah swt, tidak kira dia mengantuk, sejuk atau letih dia tetap bangun hendak bersua mesra engan Tuhan yang sentiasa memerhati hambaNya.
Begitu juga pada Hari wukuf di Arafah dan Hari Jumaat merupakan antara waktu dimana mustajabnya berdoa. Hari dimana manusia sanggup meninggalkan kampung halaman, keluarga demi melaksanakan fardhu haji. Hari dimana manusia meninggalkan pekerjaan, makan minum untuk pergi berhimpun di rumah-rumah Allah.
Detik insan memohon doa ketika manusia semuanya seolah-olah singgah di pohon rahmat Allah swt, bagaikan menggongcang pohon tersebut. Sambil berharap agar mendapat buah rahmat-Nya setelah masing-masing menggoncang pohon tersebut. Apabila beramai-ramai menggongcang pohon tersebut dengan keikhlasan doa, bukan sahaja buah rahmat yang telah ranum, malah buah rahmat yang masih putik pun turut berguguran.
0 comments:
Post a Comment