Pages

Tuesday, June 29, 2010

(K.K 4) al- ahzab

K berkesempatan mendengar sedikit perkongsian ilmu pada program rancangan Tanyalah Ustaz yang telah disiarkan pada hari sabtu lepas, 26 Jun 2010 yang bertajuk TAQWA. Rancangan yang disiarkan melalui TV 9 ini semestinya perlu diikuti oleh semua lapisan masyarakat yang mencari kesempurnaan dalam memperoleh keindahan hidup bersyariat.

Ahli panel, xsilap dari UIA menyentuh beberapa perkara mengenai tugas kita sebagai khalifah Allah swt yang bertaqwa. Antaranya melihat, merenung serta berfikir kejadian isi alam. Juga disentuh isi kandungan didalam surah al-ahzab.

Surah al-ahzab yang mempunyai 73 ayat yang diturunkan di Madinah antara lain membincangkan mengenai peperangan al-Ahzab, iaitu peperangan yang dilancarkan oleh orang-orang Yahudi yang bersekutu dengan kaum munafik dan orang musyrikin terhadap orang-orang mukmin di Madinah.

Mereka telah mengepung rapat orang-orang mukmin sehingga sebahagian daripada mereka telah berputus asa dan menyangka mereka akan dihancurkan oleh musuh-musuh mereka.

Ini adalah ujian yang berat dari Allah swt untuk menguji keteguhan iman mereka. Akhirnya, Allah mengirimkan bantuan tentera yang tidak kelihatan dan angin taufan sehingga musuh menjadi kacau-bilau dan melarikan diri.

Ustaz juga meminta agar para pendengar menghayati isi kandungan surah al-ahzab ayat 68 sehingga ayat ke 73. Ini kerana, kata-kata Allah didalam ayat tersebut jelas menggambarkan kasih sayang Nya kepada hambaNya dengan memberi peringatan agar manusia sentiasa bertaqwa kepada Nya.

tafsir ayat 68 sehingga 73

[68]
“Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!”

[69]
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi) yang telah mencaci Nabi Musa, lalu Allah membersihkannya dari segala cacian yang mereka katakan; dan adalah dia seorang yang mulia di sisi Allah.

[70]
Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara),

[71]
Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.
 

[72]
Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.

[73]
(Dengan kesanggupan manusia memikul amanah itu maka) akibatnya Allah akan menyeksa orang-orang lelaki yang munafik serta orang-orang perempuan yang munafik, dan orang-orang lelaki yang musyrik serta orang-orang perempuan yang musyrik; dan juga Allah akan menerima taubat orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman. Dan sememangnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Ya Allah ya Tuhan kami, maafkanlah segala dosa-dosa kami samada kami sengaja atau tidak. Janganlah wahai Allah, Engkau hukum kami diatas kesalahan dan kelalaian yang telah kami lakukan. Berilah ampunan Mu Allah dan sinarkanlah nur hidayah Mu kedalam hati kami. Sesungguhnya hanya Engkau tempat kami berserah dan meminta keampunan...

0 comments:

Post a Comment

Halwa Telinga

 
Copyright 2009 Rimbunan Taqwa. Powered by Blogger
Blogger Templates created by Deluxe Templates
Wordpress by Wpthemescreator
Blogger Showcase