Pages

Monday, May 9, 2011

Nota Untuk Kau & Aku Ke Syurga

“Aku cinta kepadamu kerana agamamu. Kalau hilang agamamu, hilanglah cintaku.”
 
Begitulah kata-kata Imam Al Ghazali kepada isterinya saat berbicara tentang cinta. Perkara ini dikupas lebih mendalam oleh Ustazah Qurratul Aein dalam Talkshow Nisa' WP baru-baru ini,` Kau & Aku ke Syurga'. Alhamdulillah, banyak yang dapat dipelajari daripada kedua-dua panelis kita yang sangat berkaliber dalam bidang masing-masing.
 
Berikut disertakan isi penting sepanjang forum berlangsung :
 
CARA KE SYURGA
 
Orang-orang beriman, bila masuk syurga, akan disatukan kembali dengan ahli keluarganya di sana. Selalunya orang berkahwin semata-mata kerana cinta, jarang yang berkahwin untuk ke syurga. Kalau suami yang jaga akidah dan syariat, tapi isteri tidak, suami sahaja ke syurga, dan begitulah sebaliknya. 
 
Cara untuk ke syurga:

o   Jaga akidah – berhati-hati dgn fahaman pluralisme, liberalisme, khurafat/bomoh serta pertikaian terhadap ketetapan hukum dan qada’/qadar Allah. Contoh: kaum perempuan yang berlebihan dalam menuntut kesamarataan sehingga mahukan kuasa talak, dan tidak mempersetujui hukum faraid
 
o   Jaga syariat – terutamanya solat, puasa dan zakat

CINTA SAMPAI SYURGA : REALITI ATAU MITOS? 
 
Cinta, atau ‘hubb’ dalam bahasa arab, adalah suatu perasaan yang letaknya jauh di dalam hati. Allah swt dan Nabi saw ada menyebut tentang rasa cinta:
o   Dijadikan pada manusia rasa suka kepada wanita & anak2
o   Hadis nabi: tidak beriman jika tidak mencintai orang lain seperti diri sendiri
Fitrah lelaki memang suka kepada ramai wanita (Jadi di syurga, setiap lelaki dijanjikan bidadari yang ramai, dengan rasa cinta yang kekal. Namun, secantik-cantik bidadari, yang paling cantik adalah wanita/isteri yang solehah.)

Panduan cinta yang membawa ke syurga:
o   Tidak mencintai seseorang/sesuatu lebih dari mencintai Rasulullah saw.
o   Mencintai seseorang kerana agamanya
 
FENOMENA CINTA ISLAMIK / `CINTA ENTA-ENTI'

Mencintai seseorang kerana agama dan kebaikannya, sifat waraknya, dan tinggi ilmunya adalah suatu kebaikan. Cinta yang mendorong kepada saling mengajak kepada kebaikan dan mencegah kejahatan juga adalah suatu kebaikan (amar ma’aruf nahi munkar). Namun harus berhati-hati dari maksiat, jangan berdua-duaan.

FENOMENA `PERIGI CARI TIMBA'
 
Menurut kajian, nisbah lelaki:perempuan berumur 19-49 tahun di Malaysia adalah lebih kurang sama. Namun nisbah lelaki:perempuan di pusat serenti dan penjara adalah 10:1. Jadi memang bilangan lelaki yang boleh dikahwini adalah kurang dari perempuan. Ini menyebabkan perempuan tidak lagi malu-malu untuk mencari timba. Namun sebenarnya tiada masalah perigi mencari timba. Yang lebih bermasalah adalah perigi cari perigi, timba cari timba. Gunakanlah orang tengah dan carilah pasangan tanpa langgar syariat.Bagi yang mengalami cinta pandang pertama, buatlah solat istikharah meminta panduan.

Sesi diskusi yang hangat diteruskan dengan sesi soal jawab bersama peserta.

Soalan  1 – Bagaimana menangani cinta pudar di hari tua?
-Wujudkan aktiviti-aktiviti bersama yang memupuk cinta sebagai tradisi dari awal perkahwinan. Kalau dah lama kahwin baru nak buat memanglah akan rasa janggal.
-Cari pasangan beragama kerana orang beragama akan saling menjaga dan tanggungjawab tetap akan dilaksanakan.

Soalan 2 – Ada perempuan yang gembira hidup membujang, adakah suatu kesalahan jika tidak berkahwin?
- Sabda nabi, bagi yang mampu berkahwin, berkahwinlah. Yang tidak mampu, berpuasalah
- Jadi yang lebih baik adalah tidak berputus asa mencari pasangan. Siti Khadijah berkahwin dan bercerai 2 kali dengan lelaki yang tidak baik sebelum dijodohkan dengan Rasulullah saw.

Soalan 3  - Nikah gantung- Nikah gantung adalah istilah melayu, di mana selalunya hanya dilakukan akad nikah, tetapi suami isteri tidak menjalani hidup seperti suami isteri sepenuhnya
- Dibuat kerana kenduri tidak dapat dibuat lagi atas sebab-sebab tertentu, atau untuk elakkan maksiat ketika berjauhan dari wali/penjaga (e.g. ibu bapa pergi umrah/haji)
- Sebenarnya tiada istilah ini di dalam Islam. Kalau sudah akad nikah, bermaksud sudah menjadi suami-isteri
 

Soalan 4 – Masalah suami yang tidak mencari nafkah menyebabkan isteri terpaksa bekerja dan menyebabkan isteri memukul suami
-Mencari nafkah adalah tanggungjawab suami dan merupakan suatu jihad.
-Dalam kes ini isteri boleh menuntut fasakh

Soalan 5 – Hubungan semasa tunang
- Semua yang diharamkan sebelum bertunang, tetap haram selepas bertunang
- Yang dibolehkan semasa bertunang hanyalah berkenalan.
- Sebaik-baiknya berkenalan melalui orang lain. Kalau berkenalan secara terus, perlu berusaha menjaga hati supaya tiada maksiat hati.
 
Akhir kata, sekalung terima kasih kepada para panelis dan para peserta yang hadir, serta ajk Nisa' se-Wilayah dan Masjid Asy-Syakirin, KLCC yang bertungkus lumus menjayakan program ini. Semoga halaqah ilmu seperti ini terus mendapat sambutan di masa akan datang. Nantikan siri Talkshow Nisa' Wp seterusnya ya!
 
- nisa' titiwangsa.

Friday, May 6, 2011

Hamba Allah Yang Mendapat KemuliaanNya di dalam Al-Furqan

sambungan...

Didalam surah al furqan ayat yang ke - 68, Allah swt turut melarang manusia membunuh jiwa yang tidak berdosa hatta orang kafir sekalipun yang memiliki ikatan perjanjian keamanan dengan kaum muslimin. 

Membunuh tanpa hak beerti merampas  hak Allah swt. Manusia diberi peluang oleh Allah swt untuk menjalani kehidupan diatas muka bumi ini bagi mencari bekalan di akhirat sana disamping tujuan utamanya mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa.

Didalam ayat ini juga, Allah swt mengutuk orang yang melakukan perbuatan zina dan menyediakan siksaan yang pedih keatas pelaku zina di akhirat sana. (masyaAllah, moga dihindari). Firman Allah di dalam surah Al-Isra’ ayat ke-32 yang bermaksud: “Janganlah kamu menghampiri zina sesungguhnya zina itu amat keji dan jalan yang sesat,”

Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kehormatannya, yang demikian adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.”Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kehormatannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa namapak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya…An-Nur ayat 30-31

Di dalam ayat yang ke 70-71 surah al-furqan, Allah swt berjanji akan menukarkan kejahatan yang dilakukan dengan kebaikan asalkan hambanya bertaubat dengan sebenar-benarnya memohon keampuan dari segala dosa yang dilakukannya, beriman dan mengejarkan amalan soleh. 

Juga disebut didalam surah Az-Zumar ayat 53 yang bermaksud: "Katakanlah: "Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah swt. Sesungguhnya Allah swt mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
Ayat ini membukakan pintu dengan seluas-luasnya bagi seluruh orang yang berdosa dan melakuan kesalahan. Meskipun dosa mereka setinggi langit sekalipun. Seperti sabda Rasulullah Saw:

"Jika kalian melakukan kesalahan-kesalahan (dosa) hingga kesalahan kalian itu sampai ke langit, kemudian kalian bertaubat, niscaya Allah SWT akan memberikan taubat kepada kalian." (Hadist diriwayatkan oleh Ibnu Majah dari Abi Hurairah, dan ia menghukumkannya sebagai hadits hasan dalam kitab sahih Jami' Shagir - 5235)

Allah swt menunjukkan ciri-ciri hambaNya yang mendapat kemuliaanya iaitu hamba yang  menjauhi diri daripada memberi persaksian palsu dan menghindari daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah.  

Firman Allah swt didalam surah al-furqan ayat ke 72 yang bermaksud: Dan mereka yang tidak melakukan saksi palsu  , dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah mereka lalui sahaja dengan menjaga kehormatan dirinya. Dewasa kini, sumpah laknat mudah dilafazkan dengan harapan memperoleh keuntungan dunia yang sementara dan penuh dengan penipuan.


Hamba Allah yang sentiasa berfikir akan kejadian alam yang dipenuhi pelbagai hikmah dan tidak mudah menerima sesuatu perkara atau berita tanpa usul periksa dijamin akan peliharaan Allah swt didunia dan juga akhirat kelak. Sebagaimana firman Allah swt di dalam surah al-Furqan ayat 73  yang bermaksud: Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, mereka tidaklah menghadapinya sebagai orang-orang yang tuli dan buta. 

Dan sifat hamba Allah swt yang terakhir yang dijamin kemuliaannya di dalam surah al-furqan ini adalah hamba yang berdoa memohon dikurniakan isteri dan anak-anak yang soleh iaitu sebagai peneman, penguat semangat dalam menempuh hidup di dunia ini yang penuh dengan ujian. Juga berusaha menjadi imam sebagai tauladan kepada orang-orang yang bertakwa. (semoga memperoleh isteri dan anak-anak yang soleh, penyejuk dimata penenang dihati).

Bersama mengambil manfaat diatas perkongsian ini dan mudah-mudahan, kita tergolong didalam golongan hamba-hamba Allah yang mendapat kemuliaanNya. InsyaAllah.

Sunday, April 24, 2011

Hamba Yang Di Redhai di dalam Al-Furqan

Terpanggil untuk berkongsi dengan sahabat semua berkaitan dengan kalam Allah pada penghujung surah al-furqan bermula ayat yang ke 63 hingga ayat ke 77 yang berkisarkan mengenai sifat-sifat orang yang mendapat redha dan kemuliaan dari Allah di dunia dan akhirat.

Diantara sifat-sifat hamba Allah s.w.t yang mendapat kemuliaanNya adalah yang mempunyai sifat tawaduk iaitu merendah hati, tidak bersifat sombong, riak dan angkuh. Sifat ini lahir daripada hati yang suci; keinsafan dalam melihat kekuasaan dan kebesaran Allah s.w.t, meyakini kebenarannya akan segala ajaran yang telah disampaikan oleh Rasulullah s.a.w.

Dalam hal ini Rasulullah s.a.w memerintahkan supaya umat Islam menghiasi diri dengan sifat tawaduk. Sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah memberi wahyu kepadaku, supaya kamu bersifat tawaduk, sehingga tidak ada seseorang sanggup menganiaya orang lain dan menunjukkan sikap berbangga diri (sombong) kepada orang lain.” (Hadis riwayat Muslim)

Pada ayat yang ke 64-65 surah Al-Furqan, Allah s.w.t memberi kemuliaan kepada hambanya yang sanggup mengorbankan sebahagian masa tidurnya di waktu malam untuk menunaikan solat tahjud semata-mata mendekatkan diri kepada Yang Maha Mencipta serta bermohon kepada Tuhannya agar dijauhkan dari azab siksaan neraka Jahannam.

“Dan bangunlah pada sebahagian dari malam serta kerjakanlah solat tahajud pada waktu itu sebagai solat tambahan bagimu semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkan kamu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” (Surah al-Israa’: 79)

Pada ayat yang ke 67, Allah s.w.t. memberi kemuliaan kepada hambanya yang bersederhana dalam berbelanja tidak kikir dan tidak pula berlebih-lebihan. Harta yang Allah s.w.t. berikan kepada kita bukan semuanya milik kita, bahkan ada juga hak-hak tertentu buat umat Islam yang lain. Sebab itulah digalakkan memberi sedekah kepada golongan yang memerlukannya.

Juga disebut didalam surah al-israa' ayat 29 yang bermaksud: Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu dan janganlah kamu terlalu mengulurkannya karena itu kamu menjadi tercela dan menyesal. 

Hamba-hambaNya yang tidak mempersekutukan (syirik) kepada Allah s.w.t. dengan sesuatu apa pun dijamin mendapat kemuliaanNya. Adapun yang mempersekutkan Allah s.w.t, balasanya adalah berlipat kali ganda didalam neraka Jahannam. Syirik seperti men'dua' kan Allah s.w.t. dengan yang lain untuk dijadikan sembahan, terdapat beberapa kuasa yang setanding dengan kuasa Allah s.w.t. di namakan syirik akbar (besar).

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar. (Q.S. An-Nisaa: 48)

dan syirik asghar (kecil) seperti riya'; menunjuk-nujuk dalam mengejarkan amal ibadah untuk medapatkan perhatian dan bukan semata-mata mendapatkan keredhaan dari Allah s.w.t.

bersambung...

Friday, April 8, 2011

Taraf - Tauladan Uwais al-Qarni

Rasulullah s.a.w menutup khutbah haji wida'nya dengan sabdanya yang bermaksud: "Anda yang hadir di Arafah ini hendaklah menyampaikan sesuatu daripadaku kepada mereka yang tidak hadir, kerana mungkin mereka yang mendengar daripadamu lebih cerdik dan bijak daripada kamu yang mendengar daripadaku sendiri." 

Justeru itu, imam al-Ghazali r.a mengingatkan agar tidak pandang rendah terhadap sesiapa jua, kerana kita tidak tahu boleh jadi orang yang dipandang rendah lebih baik daripada kita akhirnya.

Rasulullah s.a.w berpesan kepada Saiyidina Umar r.a dengan sabdanya yang bermaksud: "Jika kamu berjumpa dengan seorang dari Yaman yang bernama Uwais al-Qarni, hendaklah Uwais doakan kamu kerana doanya makbul. Uwais dikenali oleh ahli langit (para malaikat) walaupun tidak dikenali oleh ahli bumi (manusia).

Nabi s.a.w mengenalinya meskipun tidak sezaman dengannya, beliau wali Allah yang masyhur di kalangan para malaikat, kerana ketaatanya kepada ibunya dan kasih sayangnya kepada fakir miskin.

Sebagai pengembala unta, beliau mendapat upah beberapa dirham, sebahagian kecil untuk belanja makan dan minum diri dan ibunya dan selebihnya disedekahkan kepada fakir miskin.

Pada malam harinya, beliau berdoa kepada Allah andai pada hari itu ada orang yang mati kelaparan, semoga Tuhan tidak meletakkan kesalahan dosa kepadanya, kerana ia sudah tiada apa-apa lagi kerana semuanya telah diberi kepada fakir miskin.

Pada zaman Abu Bakar as Siddik menjadi khalifah, Uwais tidak muncul sehingga Umar r.a sendiri menjadi khalifah, barulah dapat bertemu ketika Uwais menunaikan haji bersama kabilah dari Yaman. Beliau bertugas sebagai pengembala unta kenderaan kabilah tersebut.

Di kalangan kabilah dari Yaman ada yang merasa hairan bagaimana seorang Khalifah Amirul Mukminin yang mulia hendak bertemu dengan seorang pengembala unta yang mereka sifatkan sebagai kurang waras.

Sedangkan beliau seorang wali Allah yang masyhur dikalangan para malaikat, dikenali oleh Rasulullah s.a.w yang belum pernah bertemu dengannya, namun mengetahui bahawa doa Uwais amat mustajab dan berkat. Sayidina Umar sentiasa mencari-carinya setiap kali datang musim haji.

Justeru itu ditegah memandag rendah walaupun terhadap orang fasik. Sedangkan akhir hayat orang fasik mungkin ditakdirkan Allah swt jadi salih. Islam melarang perlekeh sesama insan, sebaliknya kepada orang yang fasik hendaklah diberi nasihat agar menjadi Muslim yang baik.

Tuesday, March 22, 2011

Ayah - Tegasmu Dalam Kelembutan

Syukur di panjatkan kehadrat Ilahi dikurniakan mak dan ayah. Insan istimewa ini tetap ku hormati dan kasihi biarpun berada di kejauhan. Buat ayahku Mohamad Bin Mat Saman, Selamat Hari Lahir Ayah yang ke 57.  

Semoga Allah memelihara kehidupanmu di dunia dan akhirat.

Semoga kita semua didalam petunjuk, rahmat dan kasih sayangNya..,

Wahai Allah, peliharalah diriku dan kedua ibu bapa ku serta ahli keluarga ku dari bahan bakaran api nerakaMu. Semaikanlah kasih sayang antara kami sekeluarga...

Wednesday, March 16, 2011

Selamat Hari Lahir Mak Yang Ke-51


16 Mac 1960, lahirlah seorang insan istimewa, menemaniku dikala duka, memberi semangat dikala ku kelemahan, mengajarku 'spelling' dari markah ku 10/20 terus ke 20/20,  memberi 'layanan' first class kepada kami sekeluarga, yang menyayangi diriku, ayahku, kak tia, kak sa, pik, ming dan ajim, masakan mu sangat istimewa buat kami semua. Dialah emak ku, Siti Mariam Binti Ariffin. Banyak lagi jasamu tiada tandingan...

 Jauh telah langkahku jelajah
Dakapmu lama yang kurindu
Luas sudah kulihat dunia
Senyum mu ukiran terindah

Tiap perilaku dan budimu
Tiap airmata tumpah darah
Menjadi perlambangan sejati
Kasih tak bersyarat

Ibu redup matamu
Memayungi bahagiaku
Hanya di tapak kakimu
Terletaknya syurga buatku


semoga dirimu sentiasa kuat menghadapi mehnah dunia yang penuh cabaran dan dugaan. Semoga Allah memanjangkan umurmu didalam amal kebajikan, memurahkan rezekimu dan memelihara dirimu didunia dan akhirat.

Wahai Allah, peliharalah hidup kami sekeluarga...

anakmu yang mengasihimu

Saturday, March 12, 2011

Qanaah Sifat Mulia

Sempat K hadiri usrah pemuda yang antaranya turut membincangkan sifat-sifat mulia yang perlu ada pada setiap diri yang bergelar mukmin sejati  iaitu sifat qanaah yang semakin hari sifat ini semakin terhakis pada diri.

Oleh Dr Abdul Rashid Ahmad: QANAAH ialah kepuasan hati dengan rezeki yang ditentukan Allah. Dikatakan bahawa Allah menentukan lima perkara pada lima tempat iaitu kemuliaan pada ketaatan, kehinaan pada maksiat, kehebatan pada ibadat malam, hikmat kebijaksanaan pada perut yang kosong dan kekayaan pada sifat qanaah.

Qanaah bukanlah bermaksud hilang semangat untuk berkerja lebih keras demi menambah rezeki dan produktiviti. Malah, ia bertujuan supaya kita sentiasa bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Allah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Jadilah kamu seorang yang warak, nanti kamu akan menjadi sebaik-baik hamba Allah, jadilah kamu seorang qanaah, nanti kamu akan menjadi orang yang paling bersyukur kepada Allah, sedikitkanlah ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Abu Bakar al-Maraghi pernah berkata, “Orang yang bijaksana itu mengurus urusan dunianya dengan qanaah, urusan akhiratnya dengan bersegera, ilmu dan bersungguh-sungguh.”

Allah berfirman yang bermaksud:

“Barang siapa yang mengerjakan amal salih, baik lelaki, mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik.” (Surah al-Nahl, ayat 97)

Majoriti ahli tafsir mengatakan bahawa kehidupan yang baik di dunia ialah dengan qanaah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tidaklah kekayaan itu dengan banyak harta, tetapi sesungguhnya kekayaan itu ialah kekayaan jiwa.” ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ulama sudah mengemukakan beberapa cara untuk memiliki sifat mulia ini antara lain ialah pertama, berjimat dalam perbelanjaan dan merancang perbelanjaan. Kedua, percaya bahawa dengan qanaah mendatang kemuliaan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Lihatlah orang yang lebih bawah daripada kamu, jangan melihat orang yang tinggi daripada kamu, kerana dengan demikian kamu tidak akan lupa segala nikmat Allah kepadamu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Apabila seseorang itu bersyukur dengan nikmat Allah yang dikurniakan kepadanya, maka dia tidak akan bersifat bakhil dan kedekut menghulurkan bantuan kepada orang yang memerlukan. Tegasnya, dia menjadi seorang yang pemurah dalam masyarakatnya.

Dalam sejarah umat Islam, tercatat beberapa kisah mereka yang murah hati antaranya, diceritakan bahawa Abdullah bin `Amir membeli sebuah rumah kedai daripada Khalid bin `Uqbah dengan harga 90,000 dirham.

Tiba-tiba pada malam itu, dia mendengar anak isteri Khalid menangis. Lalu dia bertanya kepada isterinya: “Apa hal mereka itu?” Kemudian dia diberitahu bahawa mereka menangis kerana rumah mereka yang dijual.

Lantas Abdullah berkata kepada pembantunya: “Pergi dan suruh mereka datang ke sini.” Selepas mereka datang lalu dia terus menyatakan bahawa ambillah rumah itu kembali dan duit itu juga untuk kamu.

Dalam situasi dan ekonomi yang dihadapi umat manusia hari ini, alangkah beruntungnya umat Islam yang mendapat bimbingan daripada ajaran agamanya yang suci supaya tidak mengurus urusan dunia ini dengan kacamata keinginan nafsu semata-mata sebaliknya menjadi pengguna yang bijak , berhemat dan tidak tamak. 

Jadikanlah sifat qanaah yang mulia ini sebagai senjata untuk menghadapi ujian dan cabaran hidup dunia sementara ini.

Sunday, March 6, 2011

As-Saufee - Rintihanku


Jauh Perjalanan
Telahku Jelajahi
Membawa Seribu Impian
Berbekal Pengalaman

Mampukah Aku Melangkah
Menuju Satu Daerah
Masihkah Ada
Sinar Yang Menanti

Masa Dijanji Pasti Tiba
Ku Kan Dijemput Ke Sana
Bimbang Langkah Ku Terhenti
Ku Terpaut Dipersimpangan

Tak Inginku Mengngati
Detik Hitam Semalam
Tinggallah Semua
Jadi Kenangan

Keranamu Kan Ku Gagahi
Untuk Terus Sisa Hidup Ini
Biar Ku Tebus Segala Dosa
Selagi Jasad Bernyawa

Leraikanlah Rasa Hatiku
Padaku Hanya Engkau Yg Satu
Belum Pernah Ku Terasa
Hebatnya Cintamu

Sungguh Kau Lebih Mengerti
Apa Tersirat Di Dalam Diri
Ku Mohon Rasa Kasih Yang Abadi

Jujur Ikhlaskah Hati Ini
Menyintai Mu Sepenuh Hati
Ataukah Sekadar Bila Diuji

Rahmat Dan Kasihmu Tiada Sempadan
Biarpun Jiwa Dalam Kelalaian
Dihasut Dengan Pelbagai Godaan

Saturday, March 5, 2011

Masjid Bukan Alasan

Hidayah adalah milik Allah swt. Membimbing mempermudahkan dan menggerakan hati dan diri mendekatkan diri kepada Allah. Terkadang tertewas dengan pujukan duniawi. Segera merayu kepada Yang Maha Mengasihi agar ditetapkan hati berada di landasan yang benar.

“Tujuh Golongan yang akan dinaungi oleh Allah dibawah Naungan-Nya pada hari yang tidak ada naungan selain naungan-Nya iaitu pemimpin yang adil, pemuda yang senantiasa rajin beribadah kepada Allah swt, laki-laki yang hatinya selalu terpaut dengan masjid, 2 orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul dan berpisah hanya kerana Allah. Laki-laki yang diajak berzina oleh perempuan yang berkedudukan tinggi lagi berparas cantik lantas ia berkata “Sesungguhnya aku takut kepada Allah SWT”, Laki-laki yang bersedekah secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya, dan laki-laki yang senantiasa berdzikir kepada Allah hingga mengalir deras airmatanya”.
( Hadist Riwayat Bukhari-Muslim )

Muda-mudi pada zaman fitnah ini menganggap meniggalkan solat sebagai perkara yang ringan. Bukankah solat merupakan ibadah yang difardhu kan keatas umat Islam yang ber'akal'? Sekiranya solat bersendirian telah di pandang ringan, apatah pula solat yang dilakukan secara berjemaah??? Semoga Allah lindungi kita daripada termasuk di dalam golongan yang dimurkai Allah.

Sesetengah pula melengahkan waktu bersolat dengan pelbagai alasan;  seperti kain yang dipakai berpeluh, tak jumpa masjid atau surau yang proper dan berbagai lagi alasan.

K tertarik dengan beberapa keping gambar yang di jumpai. Mereka tidak menjadikan tiada masjid dan surau sebagai alasan melenggahkan waktu solat.  

Bersolat di Sebalik Tembok
Di atas Tanah
Berpayungkan sekaki Payung

Kawasan Luas

Berkaki Palsu

No Parking, Yes Solah
Bersolat di Tepi Teksi
Di Jalan Raya
Sekatan Polis
Kedai Pakaian

Di Tepi Sampan
Diatas Padang
Di stesen keretapi
Diatas Tangga
Keperluan untuk menunaikan solat di awal waktu jelas daripada hadis yang bermaksud: "Ditanya Nabi SAW, apakah amalan yang terbaik, maka jawab Nabi : Solat di awal waktu." (riwayat at-Tirmizi dan Abu Daud).

Alangkah rugi nya umat nabi Muhammad yang melenggah dan meninggalakan solat. Betapa perlunya syafaat pertolongan Mu, di akhirat sana. Syafaatkan kami ya Rasul Allah.

Tuesday, March 1, 2011

Analogi Taqwa


Para sahabat utama Rasulullah s.a.w juga ada memberikan pengertian taqwa dengan pelbagai pendekatan:

" Ubay bin Ka’ab memberi satu analogi yang sangat jelas apabila beliau ditanya oleh Sayidina Umar r.a tentang taqwa. Ubay menjawab: “Pernahkah kamu melalui jalan yang berduri?” Umar menjawab “Ya pernah.” Ubay menyambung: “Lalu apa yang kamu lakukan?” Umar menjawab: “Aku berhati-hati, waspada dan penuh keseriusan.” Maka Ubay berkata: “Maka demikian juga taqwa.


 " Abu al-Darda r.a perrnah berkata: “Kesempurnaan taqwa itu adalah apabila seorang hamba itu sentiasa berjaga-jaga dengan Allah (suruhan dan larangan) walaupun dalam hal sekecil zarah, sehingga dia akan meninggalkan sesuatu yang halal sekali pun kerana takut jatuh dalam  perkara yang haram"

Kata-kata sahabat Rasulullah s.a.w ini selaras dengan hadis Baginda yang bermaksud : " Tidak akan sampai seorang hamba kepada darjat orang yang bertaqwa sehingga dia meninggalkan hal kecil yang mugkin tidak mengapa kerana bimbang takut jatuh dalam perkara yang ditegah oleh Allah." (Riwayat al-Bukhari, Ahmad) 

solusi 27

Halwa Telinga

 
Copyright 2009 Rimbunan Taqwa. Powered by Blogger
Blogger Templates created by Deluxe Templates
Wordpress by Wpthemescreator
Blogger Showcase