Pages

Monday, September 27, 2010

Khutbah Terakhir Rasulullah SAW

(Khutbah ini disampaikan oleh Rasullah s.a.w pada 9hb Zulhijjah Tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah,Gunung Arafah.)

Wahai Manusia,dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan.Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini.Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia,sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci,maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi.Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu.Allah telah mengharamkan riba,oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu.Dan dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar,maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti nya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia,sebagaimana kamu mempunyai hak keatas isteri kamu ,mereka juga mempunyai hak di atas kamu.Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik,berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu yang setia.Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia ,dengarlah bersungguh-sungguh kata-kata ku ini,Sembahlah Allah,Dirikanlah solat lima kali sehari,Berpuasalah di Bulam Ramadan dan Tunaikanlah Zakat dari harta kekayaan kamu.Kerjakanlah ibadat Haji sekiranya kamu mampu.Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah bersaudara kepada Muslim yang lain.Kamu semua adalah sama,tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.

Ingatlah,bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan.Oleh itu Awasilah agar jangan sekali-kali terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia,tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru.Oleh itu wahai manusia,nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu.Sesumgguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara,yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya ,nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya.Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku menyampaikan pula kepada orang lain.Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dari ku.Saksikanlah Ya Allah bahawasanya telah aku sampaikan risalah Mu kepada hamba-hamba mu.

 

Monday, September 20, 2010

(K.K 16) Benteng Diri Menghadapi Tipu Daya Syaitan

Terkadang ku tidak sedar akan kesalahan diri. Ku alpa dengan dosa-dosa yang telah dilakukan. Ku lupa balasan yang sedia menanti dari Tuhan kepada hambanya yang zalim terhadap diri sendiri dan orang lain dan tidak segan melakukan maksiat kepadaMu, ya Tuhan. Maafkan kesalahan dan kejahilan ku.

K pernah mendengar tazkirah daripada ustaz-ustaz  semasa menuntut di IPT dahulu, orang yang beriman lebih diuji oleh Allah. Allah uji hambanya adalah untuk meningkatkan martabat keimananya. Adakah ku layak tergolong di dalam golongan orang-orang yang beriman?

Sebagai seorang yang masih waras, iman sebesar zarah, berfitrah diri agar menjauhkan diri daripada kebinasaan, kita meyakini bahawa setiap amal buat kita diperhatikan oleh Allah, dicatit setiap pekerjaan oleh dua malaikat yang setia disisi kita. Kita juga percaya, musuh sejak nabi Adam a.s sentiasa cuba merosakkan iman kita, membawa kita kearah kebinasaan.

"Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf?"(Yassin, 36:62).

Usaha untuk membentengkan diri daripada godaan bisikan syaitan perlu bagi memastikan kita terselamat dari siksaan api neraka Allah dan mendapat kebahagiaan hidup didunia dan diakhirat. Antara amalan yang boleh dilakukan ialah:-

1. Mengambil wuduk

Rasulullah s.a.w bersabda : " sifat marah itu dari syaitan.Syaitan dicipta dari api.Satu-satunya benda yang boleh memadamkan api hanyalah air.Oleh yang demikian, jika seseorang daripada kamu marah, maka hendaklah segera mengambil wudhu' { HR Abu Daud - sahih }
 
Nabi Muhammad SAW juga pernah berpesan tiga langkah mengatasi rasa marah. Pertama, mengawal lidah iaitu berdiam diri dan mengubah posisi (misalnya, jika berdiri hendaklah duduk), mengambil wuduk dan beristighfar serta membaca al-Quran.

2. Membaca Bismillah 

Rasulullah s.a.w bersabda : " Jika seseorang masuk ke dalam rumah lalu berzikir kepada Allah ( membaca basmallah ) menjelang memasukinya dan ketika hendak makan, maka syaitan berkata; aku tidak dapat tidur dan makan bersamamu.Jika masuk ke rumah tanpa didahului berzikir kepada Allah ( membaca basmallah ) semasa ingin memasukinya, syaitan berkata; aku akan tidur bersamamu.Jika tidak berzikir kapada Allah ( membaca basmallah ) menjelang makan, syaitan berkata; aku akan tidur dan makan bersamamu " { HR Muslim }

 3. Membaca Ta'aawuz

Apabila salah seorang daripada kita membaca ayat al-Qur'an, maka hendaklah dimulakan dengan membaca kalimah taawwuz, iaitu suatu lafaz untuk mengingatkan diri kita sendiri agar tidak terpesong fikiran daripada memahami al-Qur'an.

Dan sebagai kebiasaannya, urusan memesongkan fikiran dan niat ini banyak sekali terkait dengan bisikan syaitan. Hal ini sesuai sekali dengan saranan daripada Allah s.w.t sendiri sebagai yang termaktub di dalam al-Qur'an.

"Maka apabila kamu membaca Al-Qur'an, maka hendaklah kamu memohon perlindungan kepada Allah dari syaitan yang terkutuk." (An-Nahl: 98). 

Diriwayatkan daripada Uthman bin Abi al-As katanya :Dia telah pergi menemui Rasulullah s.a.w lalu berkata;Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan menghampiriku di antara daku dan solatku serta bacaanku.Dia menggangguku.Rasulullah s.a.w lalu bersabda: ( Itulah Syaitan yang dipanggil dengan nama Khanzab.Sekiranya kamu merasai kehadirannya mohon berlindunglah kamu dengan Allah daripadanya dan ludah ke arah kiri sebanyak tiga kali) Dia berkata;Aku melakukan seperti yang disuruh nabi s.a.w dan Allah telah menjauhkan syaitan itu dariku.

4. Membaca Ayat Kursi

Dari Anas bin Malik r.a. berkata, "Rasulullah S.A.W bersabda : Apabila seseorang dari umatku membaca ayat Kursi 12 kali, kemudian dia berwuduk dan mengerjakan solat subuh, nescaya Allah akan menjaganya dari kejahatan syaitan dan darjatnya sama dengan orang yang membaca seluruh al-Qur'an sebanyak tiga kali, dan pada hari kiamat ia akan diberi mahkota dari cahaya yang menyinari semua penghuni dunia." 

maksud ayat kursi: Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya).

5. Membaca Surah al-Baqarah

Diriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a katanya :Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu menjadikan rumah kamu seperti kubur.Sesungguhnya syaitan tidak memasuki rumah-rumah yang dibacakan padanya surah al-Baqarah.
 
Diriwayatkan daripada al-Nu’man bin Basyir katanya, Nabi s.a.w.bersabda : Sesungguhnya Allah telah menulis kitab 2000 tahun sebelum menciptakan makhluk. Diturunkan dua ayat daripadanya diakhir surah al-Baqarah. Jika tidak dibaca kedua-duanya didalam rumah melebihi 3 hari akan didekati syaitan.

6. Sujud selepas membaca ayat sajjadah

“Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seorang anak Adam itu membaca ayat sajadah lalu sujud maka syaitan akan menjauhkan diri dengan menangis dan berkata,wahai celakanya dia. dalam riwayat lain wahai celakanya aku- Anak Adam telah diperintah agar sujud maka dia sujud lalu baginya syurga sedangkan aku diperintahkan agar bersujud tetapi aku enggan dan bagiku neraka”

7. Berada didalami rumah sebelum waktu hampir malam

Dari Jabir r. : dari nabi saw , beliau bersabda : “ Apabila hari telah malam atau mulai malam, laranglah anak-anakmu di luar, kerana sesungguhnya syaitan berkeliaran pada waktu itu. Apabila lewat waktu isyak, suruhlah mereka tidur dan tutuplah pintumu dan sebutlah nama Allah. Padamkanlah lampu dan sebutlah nama Allah, tutuplah bejanamu ( bekas makanan ) dan sebutlah nama Allah, biarpun engkau letakkan saja barang sesuatu di atasnya”.

8. Tahan Menguap

Dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi saw, beliau bersabda : “ Menguap itu dari syaitan. Maka apabila seseorang kamu menguap, hendaklah ditahannya sedapat mungkin. Sesungguhnya jika seseorang kamu mengatakan “ ha” lantaran tertawa , tertawalah syaitan.


9.  Membersihkan Hidung 

Apabila seseorang daripada kamu

bangun daripada tidurnya, lalu dia berwuduk, maka hendaklah menyemburkan air dari hidung
membersihkan )hidungnya) tiga kali , kerana sesungguhnya syaitan bermalam pada lubang
hidungnya”.


10. Perbanyakkan Berdoa 

Dari Abu Hurairah r.a. : Nabi saw bersabda : Apabila kamu mendengar kokok ayam, maka pohonlah beroleh kurnia kepada Tuhan, kerana sesungguhnya ia melihat malaikat. Apabila kamu mendengar bunyi( ringkik) keldai, maka mohonlah perlindungan kepada Tuhan dari bahaya syaitan, kerana sesungguhnya ia melihat syaitan. 

Semoga kita diberi Allah kekuatan untuk melawan godaan syaitan. " Aku berlindung diri kepada Allah daripada bisikan godaan syaitan yang direjam"
 
sumber: 
http://www.scribd.com/doc/13622626/Menjauhi-godaan-syaitan-ed
http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18139&Itemid=99999999
http://bahrulilmi.blogspot.com/2010/07/perisai-kita.html 

Thursday, September 16, 2010

UNIC - Jalan Ku Pulang


Tundukku malu didepanMu
Keranaku insan berdosa
Kuadukan sesalanku
Apakah kan Kau terima

Kesunyian ini sedarkan diriku yang lena
Tinggalkan semalam yang nanah
Lantas meratap hina kan ku pada sempurnaMu
Terpaut aku tak berpaling

Ku Bersyukur hanya padaMu Tuhan
Kau temukan laluan bermula
Dan cintaMu bagai air di tandus sahara
Buatku melepas dahaga

Suburkan cahaya menerangi langkahku
Semaikan segala kiasan indah cintaMu

Ku Bersyukur hanya padaMu Tuhan
Kau temukan laluan bermula
Dan cintaMu bagai air di tandus sahara
Buatku melepas dahaga

Ku mohon kau tenangkan gusar hatiku yang rawan
Bimbang Kau singkirkan taubatku
Ku rayu Kau hulurkan keampunanMu padaku
Kelakku zalimi diriku

Janjiku padaMu abdikan seluruh jiwa
sehingga masanya kau seru hujung nyawaku

Ku Bersyukur hanya padaMu Tuhan
Kau temukan laluan bermula
Dan cintaMu bagai air di tandus sahara 
Buatku melepas dahaga

Tak Ku temu dimanakah hentinya rayuan taubatku padaMu

Wednesday, September 15, 2010

(K.K 15) Hikmah Puasa Enam Syawal

Ramadhan telah meninggalkan kita. Di Kota Bharu, tanggal 1 Syawal 1431H, hujan turun membasahi bumi menangisi pemergian bulan yang amat istimewa itu. Hatiku sayu memikirkan apakah dapat kutemui Ramadhan untuk kesekian kali? Kini Syawal mula menyingsing. Golongan kanak-kanak antaranya yang bergembira menanti dan menyambut kehadiran Aidilfitri.

Didalam kesibukan kita pergi berziarah sanak saudara, meraikan tetamu yang hadir kerumah, diharapkan amalan-amalan sunat yang dilakukan sewaktu berada didalam bulan Ramadhan dapat terus di istiqamah.

Antara amalan yang dituntut ketika berada didalam bulan Syawal ialah mengejarkan puasa enam Syawal. Kelebihan orang yang melakukan ibadat ini diterangkan dalam sebuah hadith daripada Abu Ayub al-Ansari bahawa Rasulullah saw bersabda, yang bermaksud: “Barangsiapa berpuasa Ramadhan kemudian mengiringinya dengan puasa enam hari pada Syawal, adalah puasanya itu seperti puasa sepanjang masa.” – (Hadith Riwayat Muslim)

Hadith itu menjelaskan jika kita berpuasa pada Ramadhan dan diikuti pula dengan puasa sunat enam pada Syawal, seolah-olah kita berpuasa sepanjang masa, iaitu selama satu tahun.

Barangkali ada kemungkinan amalan puasa kita pada Ramadhan berkurangan atau pun cacat sedikit, maka puasa enam Syawal adalah sebagai penampal terhadap kekurangan atau kecacatan itu.

Bagi wanita yang tidak dapat berpuasa penuh pada Ramadhan, maka puasa enam memberi peluang yang baik kepada mereka untuk menggantikannya di samping mendapat pahala puasa sunat. Ia juga dapat mengelakkan budaya atau sikap suka melewat-lewatkan qada puasa sehingga Ramadhan hampir menjelang pada tahun akan datang.

Dari Abu Hurairah r.a, Nabi saw bersabda: "Barangsiapa berpuasa Ramadhan lantas disambung dengan enam hari di bulan Syawal, maka ia bagaikan telah berpuasa selama setahun. " (HR. Al-Bazzar)

Puasa enam didalam bulan Syawal boleh dikerjakan bermula 2 Syawal sehingga akhir bulan tersebut pada tahun yang sama.
 
 Diantara hikmah berpuasa enam di dalam bulan Syawal adalah: 

1. Pelengkap Pahala menyamai Setahun Penuh Berpuasa.
Amalan-amalan sunat akan menampung kecacatan amalan wajib yang telah dilakukan.Walaupun hukum berpuasa enam dibulan Syawal adalah sunat, tetapi ia memberi banyak fadhilatnya. Rasulullah SAW, bersabda yang bermaksud: “Puasa Ramadhan (ganjarannya) sebanding dengan (puasa) 10 bulan sedangkan puasa enam hari (pada Syawal, pahalanya) sebanding dengan (puasa) dua bulan, maka itulah bagaikan berpuasa selama setahun penuh.” – (Hadith riwayat Ibnu Khuzaimah & Ibnu Hibban).

2.  Mendidik Kesabaran Diri.
Hikmah puasa enam hari pada bulan Syawal adalah untuk mendidik kesabaran insan, sekali gus tidak menjadikan Hari Raya sebagai tempoh untuk membalas dendam iaitu dengan mengambil pelbagai makanan lazat yang terhidang sepuas-puasnya selepas sebulan berpuasa. Ia juga akan memberi kesempatan kepada tubuh badan kita untuk menyesuaikan diri sesudah dilatih sebulan penuh menahan lapar dan dahaga.

3. Mendekatkan Diri kepada Allah.
Selepas mengharugi bulan Ramadhan, mengejarkan amalan-amalan sunat seperti berpuasa didalam bulan Syawal dapat mendekatkan diri kita kepada Allah serta terhindar dari keseronokan dunia yang menipu.

 4. Tanda Bersyukur.
Hikmah berpuasa pada bulan Syawal dapat menzahirkan diri kita; bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan Allah, iaitu bulan Ramadhan yang didalam nya terkabulnya doa apabila hambaya memohon, didalamnya amalan digandaka, di dalamnya terdapat malam lailatulqadar, malam yang terbaik dari seribu bulan, malam yang mana al-quran diturunkan. Juga menzahirkan rasa syukur di  panjangkan usia menyambut Aidilfitri (kembali kepada fitrah).
 
Justeru, marilah bersama-sama mengambil ruang yang masih ada didalam bulan Syawal ini dengan mengerjakan ibadah puasa sunat enam Syawal. Moga Allah memberi kemudahan kepada kita untuk mengerjakannya. 

Semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita yang lalu...amin.

Sumber: http://intim.wordpress.com/2008/10/03/rahsia-dan-hikmah-puasa-enam/
http://secretwhisper.net/2010/09/hikmah-puasa-6-di-bulan-syawal/

Tuesday, September 7, 2010

(K.K 14) Adab Menyambut Hari Raya

Sedar tak sedar,  malam ini merupakan malam yang ke-28 di dalam bulan Ramadhan. Hujan turun renyai-renyai membasahi bumi Kelantan. Apakah malam lailatul qadar sudah berlalu atau masih belum kunjung tiba? JANGAN putus asa mencarinya kerana kita masih berbekalkan 3 hari lagi untuk melipatgandakan amalan masing-masing.

Bandar Kota Bharu kini dibanjiri dengan ribuan kenderaan. Mengikut jangkauan JPJ Kelantan, anggaran kenderaan yang akan memasuki negeri Kelantan mencecah hampir 600,000 buah. Anak perantau sudah mula pulang ke kampung halaman masing-masing bagi meraikan aidilfitri bersama keluarga tersayang.

Di dalam kita sibuk membuat persiapan menyambut hari raya, disini ingin dikongsikan beberapa amalan-amalan sunat yang di galakan semasa menyambut hari lebaran. Antaranya:-
 
1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat Aidil-Fitri.

Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : "Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya". 

2) Menjamah makanan sebelum keluar

Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : "Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya AidilFitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma..."

3) Memperbanyakkan takbir dan bukan memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun

Seharusnya umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Aidil-Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.

4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain
 
Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah "Taqabbalallahu minna wa minkum" ertinya : Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu".
 
5) Memakai pakaian terbaik yang ada
 
Walaupun demikian, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan. Tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang di haramkan di dalam Islam).

6) Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi)
 
Ia berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya" (Riwayat Al-Bukhari)

7) Berziarah dan merapatkan hubungan baik sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi. 
 
Disini juga disenaraikan beberapa kesilapan yang sering dilakukan semasa merayakan hari lebaran.

1) Sentuhan - Berjabat tangan diantara lelaki dan perempuan yang bukan mahram ketika menziarahi sanak-saudara sering dilakukan.
 
2) Aurat - Aurat diantara saudara mara, ipar duai. Contohnya; kebanyakan kaum hawa melepaskan rambut ketika berada di rumah tanpa menghiraukan tetamu lelaki yang datang berkunjung ke rumah. tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.

3) Wangian Wanita - Kaum wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram. 

4) Pakaian Wanita - Pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak ramai.
 
5) Kubur - Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin) 

6) Meninggalkan solat - kerana terlalu sibuk beraya di sana sini.
 
7) Dosa Bertempoh - Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di bulan Ramadhan. Malah memang sebahagiannya diniatkan untuk disambung selepas Ramadhan. Sebagai contoh, ada yang menangguhkan pergaduhan di Ramadhan, maka syawal bolehlah bergaduh kembali. Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat berdating, bersyahwat melalui telefon dan 'chat', berjalan jauh berdua-duaan dengan teman wanita dan lain-lain. 

semoga dapat diambil pengajaran atas perkongsian yang diberi.  Salam Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

petikan: http://www.zaharuddin.net/

Thursday, September 2, 2010

Kelebihan Lailatul Qadar

 
1) Malam berkat yang di turunkan padanya Al-Quran (secara sepenuhnya dari Lauh Mahfuz ke Baytil Izzah di langit dunia sebelum diturunkan kepada Nabi SAW secara berperingkat)
 
Justeru ia disifatkan sebagai malam penuh berkat dalam ayat 3 surah ad-Dukhaan. Pandangan ini adalah sohih dari Ibn Abbas, Qatadah, Sai'd Ibn Jubayr, ‘Ikrimah, Mujahid dan ramai lagi.  (Tafsir Al-Baidawi, 5/157 ; Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126 ) 
 
2) Di tuliskan pada malam tersebut "qadar" atau ketetapan bagi hidup, mati, gembira, rezeki, sihat, sakit dan apa jua berkaitan qadar manusia dan destinasi mereka pada tahun itu. 
 
Ini diambil dari firman Allah s.w.t :-
 
فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ

Ertinya : Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah Yang mengutus rasul-rasul ( Ad-Dukhan : 4-5)
 
Imam At-Tabari menyebut bahawa pada malam itu, diputuskan hal ajalnya seseorang,  rezekinya, kejadiannya. Malah di malam tersebut juga, ditentukan siapa yang berkahwin dengan siapa, nama siapa yang termasuk dalam senarai kematian pada tahun berikutnya, apakah musibah yang akan menimpa dan lain-lain. Ia juga yang dihuraikan oleh Imam Qatadah, Mujahid dan Al-Hassan(Tafsir At-Tabari, 25/108 )

Imam Al-Qurtubi mencatatkan:

قال بن عباس يحكم الله أمر الدنيا إلى قابل في ليلة القدر ما كان من حياة أو موت أو رزق

Ertinya : Berkata Ibn Abbas, Allah s.w.t menghakimi atau menentukan urusan untuk dunia apabila tibanya Laylatul Qadar, dari segala urusan tentang kehidupan (hambanya) atau kematian atau rezeki  (Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126)
 
Demikian juga yang difahami dari apa yang disebut oleh Ibn Abbas. (Tafsir Ibn Kathir, 137/138). Imam An-Nawawi ada menghuraikan maksud panjang bagi hal ini. (Syarah Sohih Muslim, 8/57). Menurut pandangan yang lain qadar juga membawa bermaksud mulia atau agung.

3) Malam ini terlebih baik dari seribu bulan untuk beribadat
 
Perlu difahami bahawa para ulama berbeza pandangan dalam pengertian seribu bulan kepada pelbagai takwilan. Cuma Imam At-Tabari selepas membawakan hampir semua pendapat-pendapat semua pihak ia mentarjihkan dengan katanya :-
 
وأشبه الأقوال في ذلك بظاهر التنزيل قول من قال عمل في ليلة القدر خير من عمل ألف شهر ليس فيها ليلة القدر

Ertinya : Pendapat yang paling tepat dari zahir teks nas yang diturunkan adalah pendapat yang mengatakan erti Seribu bulan adalah "beramal di laylatu Qadr sama dengan amalan seribu bulan yang tiadanya laylatul Qadr ( selian bulan Ramdhan)  ( At-Tabari, 30/259)
 
Imam Malik dalam al-Muwatta' membawakan satu hadis Nabi s.a.w yang memberi makna seribu bulan itu adalah gandaan sebagai ganti kerana umur umat zaman ini yang pendek berbanding zaman sebelum Nabi Muhammad SAW yang amat panjang seperti Nabi Nuh as. (Al-Muwatta, no 698, 1/321 ; Al-Jami' Li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 20/133 ; Syeikh Atiyyah Saqar, Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, dengan pindaan).

4) Pada malam itu, turunnya para Malaikat dan Ruh (Jibrail as).
 
Hal ini disebutkan di dalam al-Quran dari surah al-Qadr. Manakala, dalam sebuah hadith disebutkan bahawa pada malam tersebut, malaikat akan turun dan berjalan kepada seluruh individu yang sedang beribadat secara berdiri, duduk, bersolat, berzikir, serta memberi salam kepada mereka dan mengaminkan doa mereka maka Allah akan mengampunkan mereka kecuali empat kumpulan : Peminum arak, penderhaka ibu bapa, pemutus siltarurrahmi dan individu yang sedang bermusuhan. 
 
5) Malam itu juga disebutkan sebagai malam yang sejahtera.
 
Hinggakan Syaitan juga tidak mampu untuk melakukan kejahatan dalamnya. (Tafsir Ibn Kathir, 4/531 ; Al-Qurtubi, 20/134 ) . Sejahtera dan keberkatan ini akan berterusan sehingga naik fajar dan bukannya pada saat tertentu sahaja. Hal ini juga di sebutkan dari firman Allah dalam surah al-Qadr. 
 
6) Diampunkan dosa terdahulu bagi sesiapa yang menghidupkannya dengan iman, ikhlas dan mengharap redha Allah
 
Ia berdasarkan hadith sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim. (Fath al-Bari, 4/251)

petikan dari: http://www.zaharuddin.net/content/view/604/95/

Wednesday, September 1, 2010

(K.K 13) Memburu Lailatul Qadar

Masih tinggal 7 hari untuk kita berpuasa didalam bulan Ramadhan untuk tahun 2010. Malam ini merupakan malam yang ke 23 didalam bulan yang mulia ini. 

Tidak terlewat rasanya untuk K berkongsi artikel yang dibaca didalam website ustaz zaharuddin berkaitan dengan peluang 'last minute' memburu malam al-qadar iaitu malam yang teristimewa yang amalan yang dilakukan seumpama 1000 bulan mengejarkan amal ibadat.

Lailatul Qadar atau Malam al-Qadar telah diketahui umum sebagai malam yang amat istimewa buat seluruh umat Islam. Ia berdasarkan ayat al-Quran dari surah al-Qadr . Firman Allah SWT : 
 
Ertinya : "Malam Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan"  (Al-Qadr : 2)
 
Di malam ini jugalah Nabi SAW bersungguh-sungguh beribadat melebihi malam-malam Ramadhan yang lain.  Disebutkan di dalam sebuah hadith :- 
 
Ertinya : Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramdhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang lain" ( Riwayat Muslim, no 1175 )
 
Sebuah lagi hadis menyebut :- 
 
انه كان يعتكف فيها ويتحرى ليلة القدر خلالها

Ertinya : "Adalah Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-qadar darinya (malam-malam ramadhan)" ( Riwayat al-Bukhari & Muslim
 
أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا دخل العشر أحيا الليل وأيقظ أهله وشد مئزره
 
Ertinya : " Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)" ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim) 

Waktunya

Para ulama antaranya Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menyebut bahawa tarikh malam lailatul qadar sengaja di sembunyikan oleh Allah SWT agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh bagi mencarinya, bagaimanapun ada disebutkan terdapat tanda-tanda akan kemunculan malam yang terhebat ini. 
 
Iaitu seperti hari esoknya yang tidak terlampu panas dan tidak pula sejuk, matahari pula tidak memancarkan sinarannya dan pelbagai lagi. Ia semuanya berasal dari hadith-hadith yang sohih.

Bagaimanapun tanda-tanda ini tidaklah begitu penting bagi individu yang benar-benar telah beribadat sepanjang malam. Ia juga tidak banyak memberikan manfaat kerana malam tersebut sudah terlepas sekiranya tanda itu dikenalpasti esoknya.
 
Malah, tanda ini juga adalah amat sukar menjadi tepat kerana suasana dan cuaca sesebuah negara adalah berlainan. Di negara barat contohnya mungkin sentiasa mendung kerana berada dalam musim sejuk, musim bunga manakala di Afrika pula mungkin sedang mengalami keterikan. Adakah malam al-qadar tidak muncul di tempat mereka kerana setiap siang adalah terik?
 
Jawabnya, tanda-tanda ini hanyalah contoh yang berlaku di zaman Nabi SAW dan tidak lebih dari itu.Menurut pandangan yang paling kuat di kalangan para ulama, ianya berlaku pada sepuluh malam yang terakhir, iaitu pada malam-malam ganjil. 
 
Hadith Nabi menyebut:- 
 
التمسوها في العشر الأواخر من رمضان 
 
Ertinya : " Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan ramadhan" (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Doa Terpenting Semasa Lailatul Qadar 
 
Allah s.w.t pernah menegur manusia yang lupa doa untuk akhirat mereka di masa puncak kemakbulan doa. Anataranya seperti hari Arafah, sebagaimana dinyatakan dalam firmanNya :-
 
فَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الآخِرَةِ مِنْ خَلاَقٍ
Ertinya : Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat ( Al-Baqarah : 200 ) 
 
Jelas dalam ayat ini Allah s.w.t menegur manusia yang lupakan kebaikan akhiratnya. Lalu Allah s.w.t mewartakan bentuk doa yang sepatutnya, iaitu yang merangkumi kebaikan dunia dan akhirat..dan dilebihkan 'portion' atau bahagian akhirat apabila di tambah "selamatkan dari api neraka". Beerti doa untuk bahagian akhirat perlu lebih dari dunia.
 
Lihat doa yang diingini Allah s.w.t :-
 
وِمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
 
Ertinya : "Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: ""Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka" ( Al-Baqarah : 201 )
 
Di malam-malam akhir ramadhan ini target utama kita adalah mendapatkan keampunan Allah s.w.t. Inilah yang disebut dalam jawapan nabi s.a.w kepada Aisyah r.a :-
 
وقالت عائشة ـ رضي الله عنها ـ : يا رسول الله إن وافقت ليلة القدر، فما أقول ؟ قال: قولي: اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني
 
Ertinya : "Berkatalah Aisyah , Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa) ? Bersabda Nabi : " Sebutlah doa " Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun , dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan"

K berpesan pada diri dan sahabat semua agar bersama-sama menggambil kesempatan ruang yang ada untuk menggandakan amal ibadah di sepanjang bulan yang mulai ini. Belum tentu kita dapat temui lagi ramadhan pada tahun hadapan. Moga dapat ku temui malam yang istimewa yang telah Dia janjikan kepada hamaba-hambanya yang bertaqwa...

Halwa Telinga

 
Copyright 2009 Rimbunan Taqwa. Powered by Blogger
Blogger Templates created by Deluxe Templates
Wordpress by Wpthemescreator
Blogger Showcase