Pages

Tuesday, May 25, 2010

Kiamat Besar & Kiamat Kecil Datang Tiba-tiba



Kiamat besar disebutkan oleh Allah akan datang secara tiba-tiba, tanpa dapat diramal secara tepat oleh manusia. Nabi Muhammad hanya diberikan oleh Allah ilmu berkenaan tanda-tanda hampirnya sahaja. Tiada siapa yang mampu meneka tarikh tepatnya, sama ada tahun atau bulannya.

Sesiapa yang cuba mengira-ngira sama ada berdasarkan jumlah dan ayat al-Quran dan sebagainya, ia sebenarnya sedang melakukan kekarutan dan menyeleweng dari jalan yang benar.

فَهَلْ يَنظُرُونَ إِلَّا السَّاعَةَ أَن تَأْتِيَهُم بَغْتَةً فَقَدْ جَاء أَشْرَاطُهَا فَأَنَّى لَهُمْ إِذَا جَاءتْهُمْ ذِكْرَاهُمْ

Ertinya : Maka tidaklah yang mereka tunggu-tunggu melainkan hari kiamat (iaitu) kedatangannya kepada mereka dengan tiba-tiba, kerana sesungguhnya telah datang tanda-tandanya. Maka apakah faedahnya bagi mereka kesedaran mereka itu apabila hari kiamat sudah datang? ( Surah Muhammad : 18)

Itu perihal kiamat besar, namun disampingnya ada kiamat kecil, iaitu kematian yang sentiasa basah di bibir Rasulullah mengingatkan umat dan sahabatnya. Kiamat kecil ini juga kerap datang secara tiba-tiba, sehingga kata orang ia datang "tanpa seorang itu mampu atau sempat bersedia".

Hakikatnya itu tidak benar, sebenarnya Allah mendatangkan kematian setelah kita semua diberikan masa dan infra secukupnya untuk bersedia. Cuma kita yang terlalu lalai dan terhijab dek kerana kecantikan dan kenikmatan sementara yang wujud di atas dunia ini.

Video ini memperlihatkan seorang yang dijemput kematian ketika betul-betul sesudah solat. Betapa kita tidak dapat menjangka bila nyawa akan ditarik. Setiap organ yang berfungsi di dalam tubuh kita adalah dengan izin dan kuasa Allah, kita tidak mampu mengawalnya.

Kita tidak tahu, bila tiba-tiba ia jammed. Terhentinya ia beberapa minit cukup untuk menamatkan umur kita di atas dunia. Ia bukan seperti enjin kereta yang boleh ditangguh-tangguh untuk memulihkannya.




Kekaguman saya kepada individu ini bertambah apabila keadaan kematian yang begitu baik ( pada hari Jumaat 1 Jan 2010 adalah hari Jumaat dan beliau datang awal ke masjid) di sebarluaskan oleh ramai, malah dengan izin Allah, mampu menyedarkan dan menginsafkan ramai yang menontonnya. Ketika itu, terfikir bahawa kematiannya juga adalah sebuah dakwah yang hebat.

Setiap aliran darah, denyutan jantung, fungsinya hati, usus dan sebagainya, semua dikawal oleh kuasa Allah ta'ala. Bukan hanya apa yang di dalam tubuh malah juga semua yang diluarnya.

Mungkin ada yang terfikir, seorang ahli sukan yang ‘fit' cergas dan sihat, mungkin tidak akan menerima serangan jantung, namun cuba lihat apa yang terjadi kepada pemain bolasepak Hungary ini . Selepas memberikan senyuman kepada pengadil yang memberikannya kad kuning dan terus...



LUPA

Ramai yang terlupa di akhirat sana, nikmat yang maha besar sedang menunggu bagi sesiapa yang bersedia dan sentiasa menambah persediaan dan bekalannya. Nikmat Syurga tidak mampu sama sekali digambar, sebagaimana pereka cipta kereta Ford di awal rekaannya tidak akan mampu sama sekali terbayang kereta Ferrari di zaman ini.

Jika diandaikan seorang dari kita tiba-tiba melayang ke masa silam dan cuba menerangkan perihal bentuk dan enjin Ferrari, bentuk dan fungsi i-phone dan i-pad ,tentunya tiada siapa yang berada di zaman itu boleh membayangkannya.

Begitulah kenikmatan akhirat yang disebut oleh Nabi dari Allah ta'ala :

أعددت لعبادي الصالحين ما لا عين رأت ، ولا أذن سمعت ، ولا خَطَرَ على قلب بشر

Ertinya : Aku menyediakan bagi hambaku yang soleh (syurga) yang tiada mata yang telah pernah melihatnya (tidak mampu tergambar), dan tidak pernah didengari (kenikmatannya) oleh telinga dan tidak mampu terlintas (tahap kenikmatannya) oleh hati manusia. ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Manakala dalam catatan Imam Ahmad

إنه من يدخل الجنة ينعم ولا يبأس، لا تبلى ثيابه، ولا يفنى شبابه، في الجنة ما لا عين رأت، ولا أذن سمعت، ولا خطر على قلب بشر

Ertinya: Sesungguhnya sesiapa yang memasuki Syurga Allah akan dikurniakan nikmat yang tidak akan jemu, tidak binasa pakaiannya, tidak hilang kepemudaan/pemudiannya, apa yang di dalam Syurga, sesuatu yang mata tidak mampu tergambarnya, dan tidak pernah didengari (kenikmatannya) oleh telinga dan tidak mampu terlintas (tahap kenikmatannya) oleh hati manusia. (Riwayat Ahmad)

Para ulama menghuraikan, perihal Nabi Adam yang pernah mendiami Syurga tidak sama sekali bertembung dengan hadis ini kerana syurga itu sentiasa berubah-ubah nikmatnya dan tidak akan sama sekali membosankan. Luasnya tidak tercapai oleh bayangan aqal manusia.

Menurut hadis, individu yang menerima syurga paling terbawah pun besarnya adalah beberapa kali ganda dunia hari ini, apatah lagi yang lainnya. Justeru itu, apa yang dilihat oleh nabi Adam, dengan mudah sekali bagi Allah mengubahkan kepada apa yang dikehendakiNya.

Akhirnya sekali, ingatlah pesan dan teguran Imam Hasan Al-basri:

ما رأيت يقينًا لا شك فيه أشبه من شك لا يقين فيه من الموت

Ertinya : Tidaklah aku melihat satu perkara yang amat pasti (yakin) serta tiada keraguan padanya akan datang tetapi diperlakukan seperti suatu perkara yang tidak pasti hadirnya, (seolah tidak yakin kewujudannya) lebih dari perihal kematian.

Sama-samalah kita berdoa agar sewaktu nyawa kita ditarik kita berada di dalam keadaan yang baik di sisi manusia, amat baik di sisi Allah. Janganlah dimatikan kita sewaktu terlanjur melakukan maksiat.

oleh: www.zaharuddin.net

Monday, May 24, 2010

Muhasabah Bersama

1) Jangan sekali-kali kita meremehkan sesuatu perbuatan baik walaupun hanya sekadar senyuman.

2) Dunia ini umpama lautan yg luas. Kita adalah kapal yg belayar di lautan telah ramai kapal karam didalamnya. andai muatan kita adalah iman, dan layarnya takwa, nescaya kita akan selamat dari tersesat di lautan hidup ini.

3) Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan.

4) Setiap yang kita lakukan biarlah jujur kerana kejujuran itu telalu penting dalam sebuah kehidupan. Tanpa kejujuran hidup sentiasa menjadi mainan orang.

5) Hati yg terluka umpama besi bengkok walau diketuk sukar kembali kepada bentuk asalnya.

6) Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa. Dalam kesempitan hidup ada kekuasaan ilmu.

7) Ikhlaslah menjadi diri sendiri agar hidup penuh dengan ketenangan dan keamanan. Hidup tanpa pegangan ibarat buih-buih sabun. Bila-bila masa ia akan pecah.

8) Kegagalan dalam kemuliaan lebih baik daripada kejayaan dalam kehinaan. Memberi sedikit dengan ikhlas pula lebih mulia! dari memberi dengan banyak tapi diiringi dengan riak.

9) Tidak ada insan suci yang tidak mempunyai masa lampau dan tidak ada insan yang berdosa yang tidak mempunyai masa depan.

10) Kata-kata yang lembut dapat melembutkan hati yang lebih keras dari batu.Tetapi kata-kata yang kasar dapat mengasarkan hati yang lunak seperti sutera.

11) Lidah yang panjangnya tiga inci boleh membunuh manusia yang tingginya enam kaki.

12) Agama tidak pernah mengecewakan manusia. Tetapi manusia yang selalu mengecewakan agama.

13) Nafsu mengatakan perempuan itu cantik atas dasar rupanya. Akal mengatakan perempuan itu cantik atas dasar ilmu dan kepintarannya. Dan hati mengatakan perempuan itu cantik atas dasar akhlaknya.

14) Keikhlasan itu umpama seekor semut hitam di atas batu yang hitam di malam yang amat kelam. Ianya wujud tapi amat sukar dilihat.

15) Hidup memerlukan pengorbananan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan.

Wednesday, May 19, 2010

Hati Terpelihara

Hati ibarat ketua dalam diri anda manakala anggota tubuh adalah pekerjanya. Jika kuat ketuanya, maka pekerjanya juga akan kuat. Begitu juga apabila ketuanya positif dan berwawasan maka pekerjanya juga positif dan aktif bergerak merealisasikan wawasan ketua.

Setiap manusia dilahirkan dalam keadaan fitrah hati yang suci murni. Namun jika hati tidak diurus dan dijaga dengan bersungguh-sungguh, ianya secara semulajadinya amat mudah dikotori dan dicemari. Namun, bagaimanakah caranya menguruskan dan membersihkan hati?

Berikut adalah cara terbaik yang dianjurkan untuk membantu kita menyucikan kembali hati yang kurang jernih.

Sebagaimana hadis Riwayat Muslim:

“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh badan kamu, tidak juga kepada rupa kamu tetapi ia melihat kepada hati dan amalan kamu”.

1. Banyak meluangkan masa untuk muhasabah diri.

Waktu terbaik untuk muhasabah diri adalah selepas selesai solat fardhu. Ambillah sedikit masa untuk duduk diam seketika selepas selesai solat dengan melihat dan merenung kembali kekurangan dan kelemahan yang wujud dalam diri. Mengingati kekurangan dan kelemahan bukanlah untuk disesali tetapi untuk diperbaiki.

Waktu yang terbaik juga untuk muhasabah diri adalah beberapa ketika sebelum terlelap pada waktu malam. Soalan yang harus ditanyakan dalam diri ialah “ Apa yang sudah saya lakukan sepanjang hari ini?”

2. Terima hakikat tiada kejayaan sebenar di dunia ini.

Terimalah hakikat bahawa kejayaan di dunia ini bukanlah ukuran kejayaan yang hakiki, sebaliknya kejayaan sebenar adalah apabila kita bertemu dengan Allah SWT, kita dikurniakan syurga. Kejayaan yang dikecapi di dunia adalah subjektif, dan ianya berbeza mengikut individu. Hati akan mudah terubat apabila kita membisikkan “ tidak ada yang sempurna di dunia ini,” apabila menemui kegagalan di dalam sesuatu usaha.

3. Berusaha mendapatkan ilmu berkaitan diri sendiri

Ramai yang tidak percaya akan kewujudan dan kepekaan pancaindera yang keenam iaitu “pandangan mata hati”. Namun begitu, ilmu berkaitan dengan diri sendiri mudah diperoleh jika kita menggunakan pancaindera ini, dan dengannya juga kita mampu melihat dan menilai segala kekuatan dan kelemahan yang ada dalam diri. Namun bagaimanapun pancaindera ini akan lebih efektif sekiranya diri kita selalu dekat dengan Allah dan patuh kepada setiap perintah-Nya.

4. Belajar daripada orang lain.

Belajar daripada orang lain adalah sebahagian daripada proses kehidupan dan perkembangan seseorang manusia. Proses pembelajaran ini akan lebih berkesan dengan melihat setiap perkara yang berlaku di sekeliling dengan kaca mata seorang pelajar dan digabungkan dengan pandangan mata hati hendak belajar.

Melalui proses inilah segala yang buruk dapat dijadikan pengajaran untuk dihindari manakala perkara baik yang ditemui, tempuhilah sebagai pedoman untuk terus memperbaiki diri. Ingatlah, orang yang bijaksana menjadikan semua perkara di sekelilingnya sebagai tempat belajar dan sentiasa memperbaiki kualiti hatinya.

Halwa Telinga

 
Copyright 2009 Rimbunan Taqwa. Powered by Blogger
Blogger Templates created by Deluxe Templates
Wordpress by Wpthemescreator
Blogger Showcase